
AJAL budak lelaki 11 tahun di Toritama, utara Brazil, ternyata belum sampai kerana dia masih hidup walaupun besi menembusi dada dan menusuk jantungnya, minggu lalu.
Dalam kejadian 18 Januari itu, Marivaldo Jose da Silva, bermain di tangga luar rumahnya apabila dia terjatuh ke atas tong pemanggang menyebabkan batang besi mencucuk daging menembusi dadanya dari belakang ke depan
Menurut Daily Mail, ibu bapa Silva segera membawanya mangsa ke sebuah hospital dan sepanjang perjalanan, Silva masih sedar dan tidak berasa sakit.
Dia dirawat sehingga stabil di hospital berkenaan sebelum dikejarkan ke pusat rawatan pakar sejauh 170 km.
Doktor kemudian menyedari batang besi itu turut menembusi jantung Silva kerana ia bergerak serentak dengan denyutan jantungnya.
Dr Andrea Rolim yang terbabit dalam pembedahan sejam setengah untuk mengeluarkan besi itu berkata, batang besi berkenaan mengenai otot jantung dan bergerak mengikut denyutan organ berkenaan.
“Kanak-kanak itu terselamat kerana tiada siapa menarik batang besi itu keluar.
“Jika ada yang menariknya sebelum mangsa tiba di hospital, ia mungkin menyebabkan pendarahan dan pesakit berisiko mati,” katanya.
Pakar bedah jantung, Dr Claudia Alburquerque, berkata ujian menunjukkan jantung kanak-kanak itu tidak mengalami kecederaan serius.
“Kanak-kanak ini mampu bernafas tanpa bantuan mesin. Dia sangat bertuah dan ini satu keajaiban,” jelasnya.
_harianmetro
0 comments:
Post a Comment